Rizal mengaku tidak bersalah muat naik video sentuh isu sensitiviti perkauman

Rizal mengaku tidak bersalah muat naik video sentuh isu sensitiviti perkauman. Pengasas dan juga pemilik bersama Crack house mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen hari ini.

Mohamad Rizal Johan Van Geyzel, 39, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan berkenaan dibaca di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab Razak lapor Harian Metro.

Video yang menyentuh sensitiviti perkauman itu dimuat naik di Facebook, Instagram dan TikTok miliknya pada 3 hari yang berbeza iaitu 4, 5, dan 6 Julai lalu dengan niat menaikkan kemarahan.

Mohamad Rizal selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik yang dibaca pada 13 Julai lalu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Ia membawa hukuman maksimum denda RM50,000 atau penjara setahun dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Tidak boleh dijamin kerana menyentuh isu sensitiviti perkauman

Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman memaklumkan pihaknya tidak menawarkan jaminan memandangkan kes itu tidak boleh dijamin kerana membabitkan isu serius iaitu menyentuh isu sensitiviti perkauman.

Bagaimanapun, pihaknya menawarkan jaminan RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan jika mahkamah memutuskan untuk membernarkan OKS dijamin.

Mohon kurang wang jaminan sebab anak hidap dyslexia dan bapa hidap kanser

Sementara itu, peguamnya Ramkarpal Singh memohon mahkamah membenarkan anak guamnya dijamin RM2,000 bagi setiap tuduhan.

Beliau memaklumkan bahawa anak OKS menghidap dyslexia (masalah pembelajaran membabitkan kesukaran membaca) selain bapanya juga menghidap kanser.

Hakim kemudian membenarkan Mohamad Rizal dijamin RM12,000 bagi semua pertuduhan dan memerintahkannya menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mohamad Rizal juga diperintahkan untuk tidak membuat sebarang hantaran dan mengeluarkan komen di media sosial berhubung kes berkenaan.

Hakim menetapkan 19 Ogos ini sebagai tarikh sebutan kes. Mohamad Rizal membayar wang jaminan berkenaan.

Baca Juga: 11 anggota polis berusia 35 hingga 51 tahun ditahan positif dadah

Baca Juga: Macam inilah nasib rakyat marhaen di KL, ramai mengeluh bersesak dalam LRT pada waktu puncak