Rupanya urusan bayaran perkahwinan dibuat di Facebook tak pernah jumpa mata katerer sehingga terpaksa memasak sendiri juadah untuk tetamu.
Tidak pernah bersemuka, sebaliknya hanya berurusan dalam talian bagi mendapatkan khidmat pakej perkahwinan menyebabkan seorang pengantin wanita menjadi mangsa penipuan.
Deposit secara dalam talian berjumlah RM2,780, pembayaran kedua pada 17 Jun sebanyak RM5,554 dan kemudian bayaran kali kali ketiga berjumlah RM4,954 pada 30 Ogos lalu.
“Secara keseluruhan, mangsa membuat pembayaran berjumlah RM13,200 secara dalam talian dan pembayaran dibuat atas nama syarikat,” kata Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 26 yang juga pengantin perempuan berurusan dengan seorang perancang perkahwinan dari Shah Alam, Selangor pada 3 April lalu.
Hoo berkata, pembayaran itu bagi majlis kenduri yang diadakan pada Ahad lalu (24 Disember), namun mangsa mendakwa tidak menerima pakej seperti yang dijanjikan.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa terpedaya dalam urusan pakej perkahwinan di Facebook dan hanya menjalankan urusan secara dalam talian sahaja.
Justeru itu katanya, polis akan mendapatkan maklumat mengenai syarikat katering itu dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia, hari ini.
“Polis juga sedang mengesan nombor akaun bank yang digunakan selain mendapatkan maklumat pemilik akaun melalui Commercial Crime Intelligence System (CCIS).
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dipetik Harian Metro.
Media sebelum ini melaporkan keluarga pengantin perempuan terpaksa memasak sendiri juadah kepada tetamu selepas katerer yang ditempah tidak muncul pada majlis perkahwinan.