Seorang pelajar China di UK dijatuhkan hukuman penjara disebabkan mengintai seorang pelajar Muslim dan menghantar 1kg daging babi ke penginapan universiti wanita terbabit. Menurut The Telegraph, Kaichen Ma menjadi obses dengan wanita itu selepas mereka dilaporkan meluangkan masa bersama.
Pendakwaraya Matthew Bean memberitahu Mahkamah Durham Crown bahawa kedua-duanya bertemu di sebuah kelab malam pada 30 September tahun lalu dan bertukar nombor telefon. Mereka dilaporkan keluar bersama ke restoran dan pawagam beberapa hari kemudian. Pada penghujung janji temu itu, lelaki berusia 21 tahun terbabit difahamkan cuba mencium wanita itu dan memegang lengannya ketika dia berjalan pulang ke rumah.
Wanita terbabit memberitahu lelaki tersebut bahawa dia tidak berminat untuk membawa hubungan mereka ke peringkat seterusnya. Bagaimanapun, wanita terbabit berkata lelaki itu terus mengganggunya dengan menggunakan nombor telefon lain untuk menghubunginya. Mangsa, yang belajar di Universiti Durham, menghalangnya berulang kali, tetapi dia hadir ke kuliahnya walaupun mereka tidak dalam kursus yang sama.
Selain menghantar daging babi – yang haram bagi orang Islam – lelaki terbabit juga dilaporkan membeli hadiah yang ditujukan kepada “cinta dalam hidup saya”, seperti cincin Pandora, kad, dan tiket kapal terbang untuk melawat keluarganya di China. Ketaksuban lelaki tersebut telah membuatkan wanita terbabit takut untuk keluar. Dia mengalami tekanan mental dan ponteng kelas selama dua minggu.
Selepas Ma ditahan pada 1 Disember tahun lalu, dia mengaku atas tuduhan yang dikenalan ke atasnya. Dia dibebaskan dengan ikat jamin dengan syarat tidak akan menghubungi atau mendekati wanita itu. Bagaimanapun, dalam bulan yang sama, lelaki itu telah menghantar mesej kepada wanita itu untuk memintanya menarik balik laporan polis terhadapnya, lapor The Telegraph.
Selain itu, lelaki tersebut turut menawarkan untuk membayar sebulan gaji sebagai bayaran untuk dia menarik balik aduan tersebut. Pada 30 Januari, lelaki tersebut telah ditangkap sekali lagi selepas dia dilaporkan melakukan kesalahan yang sama.
Hakim James Adkin menjatuhkan hukuman penjara 28 bulan kepadanya, lapor Daily Mail. Selepas hukuman itu dijalankan, dia kemudiannya akan dihantar pulang ke China. Hakim turut mengenakan perintah sekatan, melarangnya daripada menghubungi atau mendekati mangsa selama 15 tahun.