Hampir separuh daripada pekerja Malaysia atau kira-kira 44 peratus pekerja mengatakan mereka akan terus kekal berada di dalam syarikat mereka, jika ditawarkan gaji yang lebih baik.
Bagaimanapun, 36 peratus pekerja pula mengatakan mereka berkemungkinan akan berhenti kerja dalam tempoh 12 bulan akan datang, didorong oleh keinginan untuk mendapatkan gaji yang lebih tinggi.
Selain itu mereka juga didorong keinginan mengecapi peluang kerjaya lebih baik dan fleksibiliti dalam situasi inflasi yang meningkat, pasaran buruh yang mengecil dan peningkatan dalam pekerjaan yang menawarkan kerja fleksibel.
Data tersebut diperoleh dari tinjauan EY2022 Work Reimagined Survey, yang mengatakan 36 peratus itu bersamaan dengan satu per tiga rakyat Malaysia.
Untuk rekod, tinjauan tersebut telah membabitkan lebih 1,500 ketua perniagaan dan lebih 17,000 pekerja di 22 negara, termasuk 50 majikan dan 250 pekerja di Malaysia.
Sementara itu, tinjauan juga mendapati seramai 26 peratus menyatakan keinginan untuk meningkatkan fleksibiliti atau kerja jarak jauh, dan 24 peratus menyebut kenaikan pangkat sebagai faktor lain untuk kekal di tempat kerja.
Walaupun 22 peratus majikan di Malaysia bersetuju bahawa menyediakan peluang kemajuan dari segi kerjaya adalah satu cara untuk menangani situasi berkenaan, hanya lapan peratus bersedia untuk menyemak daya saing pampasan yang ditawarkan mereka.
Hanya 16 peratus pekerja mencari fleksibiliti kerja jarak jauh walaupun majoriti (95 peratus) mahu bekerja secara hibrid sekurang-kurangnya dua hari seminggu.
Manakala 72 peratus mengatakan syarikat mereka sedang giat mempromosikan model kerja hibrid bagi menarik dan mengekalkan pekerja.
“Terdapat empat pandangan penting yang boleh diambil tindakan daripada tinjauan itu. Pertama, tawarkan susunan kerja yang hibrid dan fleksibel. Kedua, melabur dalam program kesejahteraan dan meningkatkan imbuhan dan faedah, selain menangani jurang ekuiti. Ketiga, keterbukaan untuk mengambil pekerja dari luar lokasi geografi anda.
“Akhir sekali, majikan harus sentiasa melihat peluang untuk mencipta pengalaman kerja yang lebih baik dengan menyediakan teknologi, kerjasama, produktiviti dan pembelajaran.
“Pekerja Gen Z dan milenial di Malaysia (48 peratus) adalah yang paling berkemungkinan berhenti kerja tahun ini berbanding 9 peratus dalam kategori baby boomer,” kata Low Choy Huat, Ketua dan Rakan Kongsi Khidmat Nasihat Rakyat Asean, Ernst & Young Consulting Sdn Bhd, seperti yang dilapor Astro Awani.
Baca juga: Mahu biayai bisnes pokok ganja, pelajar universiti sanggup rompak kedai emas
Baca juga: “Kepada rider yang perkecil usaha mogok kami, tak apa terima kasih”, rider luah kekecewaan