“Shila tendang pintu dan jerit mak tiada otak”- Kemelut anak ND Lala tiada penghujung, bergaduh soal banglo milik Shila Amzah

Adik lelaki kepada Shila Amzah mengatakan bahawa mereka hanya dimaklumkan tentang kehadiran seorang individu untuk menilai banglo penyanyi itu pada waktu yang agak lewat.

Namun Amir Syafiq, 30 tahun menyatakan bahawa ibu mereka iaitu Fauziah Sarman meminta sedikit masa untuk membersihkan rumah kerana berasa malu dengan keadaan rumah yang bersepah ketika individu itu tiba.

“Semalam (Selasa) ada orang pagi-pagi nak datang rumah, Shila telefon mak beritahu ada orang datang nak buat penilaian rumah.

“Orang itu sudah sampai depan rumah, baru dia nak beritahu. Rumah tidaklah bersepah sangat tapi kotor sikit disebabkan kami ada 40 ekor kucing.

“Mak minta Shila untuk tangguhkan sekejap dalam satu ke dua jam dan datang semula sebab nak kemas rumah terlebih dahulu… malulah orang datang rumah kotor,” katanya.

Syafiq menjelaskan perkara tersebut melalui sesi siaran langsung di TikTok pada malam Rabu.

Namun dia mendakwa permintaan ibunya itu tidak dapat dituruti malah penyanyi lagu “Patah Seribu” itu didakwa menghina ibu mereka.

Syafiq juga mengatakan bahawa Shila datang ke rumah mereka bahkan menendang pintu banglo tersebut sebelum menengking ibu mereka.

“Dia cakap orang itu (penilai rumah) ada kerja, mereka bukan tiada pekerjaan macam mak. Dia hina mak saya. Ini mak saya yang cerita… Lillahi Ta’alla, mak sampai menangis.

“Shila menengking mak dan disebabkan itu mak memarahinya,” ujarnya.

Menurut Syafiq, perselisihan faham yang terjadi antara Shila dan ibu mereka diceritakan oleh Fauziah sendiri, dan dia akan menunjukkan bukti kepada orang ramai.

Dakwanya lagi ibu mereka hampir menampar Shila akibat daripada pertengkaran tersebut, tetapi pergerakannya yang terbatas hanya memungkinkannya untuk mencapai cermin mata kakaknya itu.

“Shila cakap ‘kepala otak mak la’, lepas itu ditolak mak… Bila dia tolak mak dan mak hampir terjatuh, mak nak lempang dia tapi tercapai cermin mata dia.

“Mak saya pecahkan cermin mata dia dan dia maki lagi ‘mak ni memang tiada otaklah’ dan bukti mengenai kejadian itu ada,” katanya.

Pada Isnin lalu, adik bongsu Shila iaitu Syada Amzah mendakwa bahawa dia akan dihalau keluar dari kediamannya dan isu itu berlarutan membabitkan adik lelakinya serta pembantu peribadi Shila Amzah.

Baca juga: Sayur asyik layu lepas beli, rupanya ada tips rahsia yang ramai taktahu! Nasib suri rumah ini tak kedekut ilmu..