Siap sedia, waktu perjalanan lebih panjang sebab tol percuma. PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menasihatkan orang ramai supaya membuat persiapan rapi.
Ini berikutan tol percuma boleh menyebabkan jangkaan tempoh perjalanan di lebuh raya lebih panjang terutama pada Sabtu dan Ahad ini serta 7 dan 8 Mei depan.
Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata, pengguna lebuh raya dijangka merebut peluang untuk menikmati faedah tol dan menyusun semula jadual balik kampung dan pulan ke ibu kota.
“Bagi menguruskan lonjakan trafik ekoran pengumuman tol percuma oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.
“PLUS juga menyatakan komitmennya untuk mengambil segala langkah yang munasabah untuk membantu orang ramai ketika berlakunya lonjakan trafik pada keempat-empat hari tersebut.
“Pihak PLUS akan mengambil langkah yang sewajarnya dan kami telah mengatur pelbagai persediaan rapi melibatkan aspek perjalanan di lebuh raya, di plaza tol dan juga kawasan-kawasan rehat,” katanya.
Semalam, perdana menteri mengumumkan kerajaan bersetuju memberikan tol percuma dan diskaun tol kepada Keluarga Malaysia bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Pemberian tol percuma itu adalah pada Sabtu dan Ahad ini serta 7 dan 8 Mei depan untuk perjalanan pulang semula ke kediaman masing-masing, melibatkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menghubungkan jaringan Lebuhraya Utara-Selatan dan Anih Berhad (ANIH) yang menghubungkan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
Pemberian tol percuma itu akan bermula pada 12 tengah malam pada 30 April hingga 11.59 malam pada 1 Mei kepada semua kelas kenderaan manakala untuk perjalanan pada 7 Mei, ia bermula 12 tengah malam hingga 11.59 malam pada 8 Mei.
Selain itu, tawaran diskaun tol antara 30 dan 50 peratus juga akan diberikan kepada lebuh raya yang lain pada tarikh dan masa yang sama kepada semua kelas kenderaan.
Bagi membolehkan PLUS merekodkan data trafik, pengguna yang memilih untuk menggunakan kad Touch ‘n Go masih perlu menyentuh kad mereka di lorong tol namun begitu, tiada bayaran tol akan dikenakan atau ditolak daripada kad tersebut.
RFID
Pengguna yang memilih untuk menggunakan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) juga perlu memastikan mereka masuk dan keluar dari lebuh raya menggunakan lorong RFID sahaja.
Tiada bayaran tol dikenakan atau ditolak daripada eWallet mereka.
Touch ‘n’ Go
Bagi pengguna kad Touch ‘n Go, mereka dinasihatkan supaya memeriksa status kad sebelum perjalanan di portal yang disediakan.
Ini bagi mengelakkan anda terkandas di lorong tol yang mengakibatkan kesesakan jika menggunakan kad Touch ‘n Go yang tidak aktif dan telah dinyahaktif.
Selain itu, Azman turut menasihatkan orang ramai supaya mengikuti jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang telah dikeluarkan sebelum ini dan merancang perjalanan dengan teliti untuk mengurangkan kesesakan.
Ini juga dapat meningkatkan keselesaan ketika memandu dengan berhenti rehat bagi menyegarkan diri serta makan dan minum yang secukupnya.
Pelanggan lebuh raya juga disaran supaya memuat turun aplikasi PLUS untuk meninjau keadaan trafik terkini di lebuh raya menerusi paparan kamera litar tertutup (CCTV) yang disediakan selain digalakkan menggunakan Waze atau Google Maps untuk merancang perjalanan mereka sepanjang musim perayaan ini.
Baca Juga: Lelaki kongsi 5 punca enjin kereta cepat panas
Baca Juga: Tol percuma bukan sepanjang minggu Aidilfitri, ini 4 perkara anda perlu tahu