‘Terbang’ RM7,000 atau penjara enam bulan selepas ajak ‘riot’ – Fikir sebelum tulis di media sosial

Gara-gara mengajak orang ramai menyertai ‘riot’ atau perhimpunan bantahan pada Julai tahun lalu, seorang penganggur ‘terbang’ RM7,000 apabila didenda oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.

Muhammad Nur Taufiq Azhar, 27, membuat ciapan Twitter ‘sabtu riot?! TURUN!’ melalui perkhidmatan aplikasi Twitter menggunakan akaun Tulangkata@ tul4ng.

Dia selaku orang kena saman (OKS) dikenakan hukuman denda RM7,000 itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab Razak.

Sekiranya gagal membayar jumlah denda tersebut, dia boleh dipenjara enam bulan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa, secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi ‘sabtu riot?! TURUN!’ yang mengancam sifatnya dengan niat untuk mengganggu orang lain.

Untuk rekod, himpunan itu berlangsung pada 31 Julai tahun lalu dengan penglibatan sekumpulan peserta majoritinya anak muda yang memakai baju hitam.

Mereka yang mula berarak dari Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek menuju ke Dataran Merdeka, kira-kira jam 11 pagi tadi membawa bendera hitam, sepanduk menzahirkan protes dan replika jenazah.

Sepanjang perhimpunan itu berlangsung, polis membuat kawalan keselamatan di sekitar Dataran Merdeka dengan menutup beberapa laluan menuju ke kawasan itu serta pemantauan dari udara menggunakan helikopter.

Hantaran Muhammad Nur Taufiq itu dibuat pada jam 4.44 petang, 13 Julai 2021 dan telah dibaca di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman di sini pada keesokan hari, jam 10.15 pagi.

Pertuduhan dibuat bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika didapati bersalah.

Berdasarkan fakta kes, pada 14 Julai 2021, seorang pegawai polis telah melayari internet dan terlihat satu ciapan yang dimuat naik oleh OKS berserta logo bendera hitam.

Pada jam 3 petang, 17 Julai 2021, OKS telah ditangkap oleh pihak polis di Dataran Merdeka di sini kerana telah berhimpun tanpa kebenaran bersama 20 individu lain.

Dia dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 kerana melanggar Peraturan 10, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Ketika prosiding, Muhammad Nur Taufiq yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan hukuman ringan dengan alasan tidak bekerja.

“Saya mengaku telah menulis ciapan itu dan sedar atas kesalahan tersebut,” dipetik Sinar Harian.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang memohon agar mahkamah menjatuhi hukuman setimpal kepada OKS dengan mengambil kira ciapan yang dimuat naik adalah bersifat mengancam.

“Ciapan yang mengajak orang ramai untuk berhimpun seolah-olah memperlekehkan usaha petugas barisan hadapan terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berusaha menyelamatkan nyawa pesakit Covid-19.

“Ciapan setakat 14 Julai 2021, ia telah mendapat ulang ciap lebih 1,800 dan perhimpunan yang dimaksudkan juga turut berlangsung pada Sabtu 17 Julai 2021,” tambahnya lagi.

Baca juga Doktor kontrak buat demonstrasi besar-besaran hari ini, akhirnya Dr Hisham respon

Baca juga Berhentilah jadi pemimpin ‘Keluarga Malaysia’, dua pertubuhan universiti beri amaran mahu turun ke jalan raya