Tergamak liwat anak sendiri, lelaki berusia 51 tahun ditahan

Tergamak liwat anak sendiri, lelaki berusia 51 tahun ditahan. Polis menahan penganggur tersebut selepas laporan polis dibuat oleh nenek mangsa.

Menurut Harian Metro, polis menahan seorang penganggur yang dipercayai melakukan seks luar tabii terhadap anak perempuannya yang berusia empat tahun di sebuah rumah di Arau semalam.

Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, suspek itu ditahan tengah malam semalam, selepas polis mendapat maklumat mengenai kejadian daripada nenek mangsa yang tinggal bersebelahan rumah suspek.

“Terdahulu, nenek mangsa yang melihat cucunya sedang bermain di halaman rumah memanggil mangsa untuk ke kediamannya selepas melihat keadaan cucunya itu yang muram serta serba tidak kena.

“Mangsa kemudian mengadu kepada neneknya bahawa dia berasa sakit di bahagian ‘belakang’. Curiga dengan keadaan itu, neneknya meminta mangsa menceritakan apa yang berlaku.

“Kanak-kanak itu memberitahu neneknya perlakuan bapanya ketika mereka berdua saja di rumah,” katanya.

Nenek mangsa kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada polis.

Menurut beliau, mangsa adalah anak bongsu daripada tiga beradik yang mana kakak dan abangnya berusia 10 serta enam tahun.

“Sebelum ini, nenek mangsa sudah pun curiga dan mengesyaki sesuatu yang tidak kena dengan mangsa sejak Julai tahun lalu kerana perubahan sikap mangsa yang menjadi pendiam selain enggan bercakap.

“Siasatan awal mendapati, rumah nenek mangsa dan kediaman suspek yang juga menantunya itu terletak bersebelahan,” katanya.

Bagaimanapun disebabkan sikap suspek yang dikatakan panas baran serta malas bekerja menyebabkan nenek mangsa dan suspek tidak bertegur sapa.

Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk pemeriksaan.

Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan semakan mendapati, lelaki terbabit turut mempunyai rekod lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Baca Juga: Manusia bertopengkan syaitan, bapa perkosa anak hingga mati

Baca Juga: Mahasiswa dah boleh mula mohon tablet bermula esok, ini spesifikasi minimum tablet siswa patut tahu

COMMENTS