Terkejut apabila mendapati akaun banknya telah menerima wang RM5.7 juta sekaigus dia telah bergelar jutawan segera namun dia tidak gembira dengan keadaan itu.
Dia terkejut, apatah lagi melihat wang yang begitu banyak dan tidak pernah mempunyai lebih daripada beberapa ribu rupee dalam akaunnya.
Beliau hanya mendapat tahu mengenainya apabila pihak bank menghubunginya dan memaklumkan 100 juta rupee (AS$1.2 juta) telah dipindahkan ke dalam akaun dia.
Seorang anggota polis di bandar Karachi, selatan Pakistan, Aamir Gopang telah mendapati AS$1.2 juta (RM5.7 juta) masuk ke akaunnya daripada sumber yang tidak diketahui termasuk wang gajinya, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Apabila pihak berkuasa mengetahui perkara itu, seorang pegawai penyiasat dari balai polis Bahadurabad di Karachi telah dihantar untuk melakukan siasatan, lapor akhbar The Express Tribune berpangkalan di Pakistan.
Pegawai penyiasat berkenaan juga hairan dan terkejut melihat akaun bank Aamir mempunyai wang begitu banyak berjumlah AS$1.2 juta.
Apabila pihak bank menyedari pemindahan wang yang agak keterlaluan itu ke dalam akaun anggota polis biasa, mereka segera membekukan akaun bank Aamir. Kad ATM lelaki itu juga telah disekat oleh pihak bank.
Hasil siasatan polis mendapati kejadian serupa telah berlaku di dua tempat lain iaitu di bandar Larkana dan Sukkur dengan beberapa anggota polis turut menerima sejumlah besar wang dalam akaun bank mereka.
Di Larkana, tiga anggota polis menerima AS$600,000 (RM2,848,800) dalam akaun masing-masing, manakala di Sukkur, seorang anggota polis mempunyai jumlah sama didepositkan ke dalam akaunnya.
Pihak berkuasa yang menyiasat perkara itu percaya bahawa ketiga-tiga kes mungkin saling berkaitan. Bagaimanapun, anggota-anggota polis di Larkana menafikan mempunyai sebarang pengetahuan mengenai wang itu atau sumbernya. – Agensi