Terkejut cermin depan kereta remuk kena tusuk pelepah palma, ini cara buat tuntutan dengan PBT

Bukan sahaja pemilik malah warganet terkejut melihat penangan sebatang pelepah sejenis pokok palma yang memecahkan cermin hadapan sebuah kereta.

Video kejadian itu yang dimuatnaik dalam kumpulan Facebook Klang People menunjukkan pelepah itu tertusuk ke dalam cermin kereta jenis Perodua Bezza.

Menerusi video berdurasi dua minit itu, pemilik kenderaan turut berdepan kesukaran untuk mencabut pelepah tersebut kerana saiznya yang berat dan besar.

Tiada penumpang yang berada di dalam kenderaan berkenaan kerana ianya diparkir di tepi jalan di sebuah kawasan kedai.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada lokasi kejadian berlaku di Klang atau pun di kawasan yang lain.

Rata-rata menyarankan pemilik kenderaan untuk menuntut ganti rugi kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atas kerosakan yang berlaku.

“Adui, malang tidak berbau betul. Tapi kalau parkir dalam kotak PBT, insha Allah boleh tuntut ganti rugi atau insurans.

“Tak sangka boleh jatuh pelepah tu. Kalau tengok warnanya masih hijau. Biasanya yang sudah kering akan jatuh. Boleh cuba tuntut dengan PBT,” demikian antara komentar warga maya.

Berikut panduan untuk melakukan tuntutan ganti rugi dengan pihak PBT jika kenderaan anda rosak disebabkan faktor berkaitan lanskap atau pun jalan raya:

  1. Pergi balai polis (trafik) dan buat report, dalam report tu nyatakan SALAH SATU TUJUAN REPORT INI DIBUAT ADALAH UNTUK KEMUKAKAN TUNTUTAN PADA PIHAK YANG BERTANGGUNGJAWAB.
  2. Ambil gambar kerosakan pada kenderaan. Gambar ambil dalam keadaan telefon melintang. Jika melibatkan jalan berlubang contohnya hingga mengakibatkan terlanggar dan cedera, tangkap gambar kecederaan pada tubuh.
  3. Ambil gambar pokok atau lubang, manhole atau apa apa yang menyebabkan kerosakan pada kenderaan. Gambar ambil dalam keadaan telefon melintang.
  4. Kepilkan SEMUA resit yg berkenaan. Resit bengkel, hospital, klinik, towing, kereta sewa atau yang berkaitan.
  5. Pergi bersama dokumen tadi ke pejabat pemilik laluan atau PBT dan buat tuntutan, ikut t&c yang ditetapkan, isi borang yang perlu.

Untuk kenderaan rosak disebabkan faktor jalan raya, anda perlu tahu status jalan raya itu di bawah kendalian pihak mana.

Jika anda nak tahu siapa pemilik laluan, boleh buka Google Map atau Waze.

Kebiasaannya jika laluan itu ada remark warna kuning, itu bawah tanggungjawab JKR, kalau laluan taman perumahan lazimnya tanggungjawab PBT.

BACA JUGA Bercerai selepas 20 tahun, wanita baru tersedar bekas suami rupanya seorang jutawan