Terkejut remaja ini cuba dapatkan rawatan di wad kecemasan, lain pula jadinya

Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun tidak menyangka hasratnya untuk mendapatkan rawatan di wad kecemasan sebuah hospital di Parit, Perak menjadikannya mangsa gangguan seksual.

Lebih mengejutkan ialah pelakunya lelaki yang dipercayai doktor di hospital tersebut.

Susulan itu, polis menahan individu berkenaan selepas menerima laporan dibuat oleh remaja malang berkenaan di Balai Polis Bota, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah kira-kira pukul 9.14 malam pada 4 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, pihaknya kemudian telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki bergelar doktor untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, suspek telah direman untuk siasatan lanjut, dengan kes disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Hafezul berkata, mangsa tersebut berada dalam keadaan stabil.

“Justeru, sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan dengan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Mohamad Zulkarnain Jusoh di talian 013-9740294,” ujarnya lagi.

BACA JUGA Tip untuk memandu redah banjir, jangan sama sekali buat 1 perkara ini kalau tak mahu ‘tersangkut’