Tiada istilah pindah roh dalam agama Islam

Tiada istilah pindah roh dalam agama Islam. Pihak berkuasa agama Islam termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan-jabatan agama negeri perlu mencegah kepercayaan kepada inkarnasi daripada menyusup ke dalam masyarakat Islam negara ini.

Inkarnasi ialah perpindahan roh seorang yang telah meninggal dunia kepada orang lain yang hidup.

Menurut Utusan, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, kepercayaan kepada inkarnasi itu adalah karut dan merupakan satu perkara khurafat yang tidak bersandar kepada sebarang dalil.

”Kepercayaan ini dipegang oleh penganut agama Hindu, Buddha, kaum Maya di Amerika Latin, beberapa golongan Syiah di Lubnan dan Syria, juga oleh tarikat tadauf tertentu yang ekstrem. Pihak berkuasa agama Islam hendaklah memandang serius tentang isu ini,” katanya.

Sebelum ini, tular mengenai isi kandungan ceramah seorang pendakwah bebas yang menyebut mengenai perpindahan roh kepada jasad manusia yang masih hidup.

Menerusi video berdurasi lebih 10 minit itu, pendakwah bebas berkenaan menyatakan gurunya pernah menyebut contoh kononnya Allah SWT mencipta roh yang boleh berpindah-randah.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, dilihat daripada perspektif Ahli Sunnah Wal Jamaah, inkarnasi adalah satu akidah palsu dan menyeleweng daripada landasan agama Islam sebenar kerana bertentangan dengan nas-nas al-Quran dan Sunnah Nabawiyah.

”Menurut ajaran Islam roh tidak berpindah dari satu jadad ke jasad yang lain. Roh seseorang adalah khusus untuk dirinya sahaja dan tidak dikongsi oleh sesiapa selepas kematiannya, tiada dalil yang menyokong akidah yang palsu ini,” katanya.

Tambahnya, umat Islam diingatkan kepercayaan kepada perkara-perkara ghaib atau metafizika mestilah bersandar kepada dalil yang sahih.

”Menurut Islam roh seseorang bermula ketika ia berada di dalam rahim ibunya. Setelah berpisah dengan jasad disebabkan kematian, roh berpindah ke alam barzakh sebelum dibangkitkan serta disatukan semula dengan jasadnya pada hari kiamat, seterusnya akan berakhir di syurga atau neraka,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, mana-mana individu yang cuba menyebarkan akidah yang sesat tersebut kepada masyarakat Islam perlu diberi amaran dan jika terus berdegil hendaklah diheret ke Mahkamah Syariah untuk diadili menurut undang-undang sedia ada.

”Individu terbabit juga perlu disekat daripada menyampaikan ceramah dan kuliah di masjid atau surau demi memelihara akidah umat Islam daripada kesesatan kerana terpengaruh dengan ajaran karut berkenaan,” katanya.

Baca Juga: Wanita kongsi tip penjagaan muka seperti artis korea

Baca Juga: Lelaki ini kongsi 9 tips kurus dan sihat, terbukti berjaya kurangkan 12 kg selepas sebulan