Tragis di hari bahagia, wanita maut terkena peluru sesat

Tragis di hari bahagia, wanita maut terkena peluru sesat. Hari bahagia yang sepatutnya menjadi memori terindah bertukar tragedi apabila pengantin perempuan maut ditembak.

Wanita yang berasal dari Firuzabad, Iran, maut secara tragis di majlis perkahwinannya selepas terkena peluru yang ditembak tetamu lapor agensi.

Majlis bagi meraikan Mahvash Leghaei, 24, bersama pasangannya baru selesai, sebelum seorang tetamu lelaki melepaskan tembakan bagi meraikan perkahwinan itu.

Tindakan itu sebenarnya menyalahi undang-undang di Iran.

Malangnya, senapang digunakan itu meletup tanpa kawalan hingga tembakan kedua yang dilepaskan terkena tengkorak dan otak Mahvash selain mencederakan dua tetamu lain.

Lelaki yang melepaskan tembakan itu dikatakan tidak memiliki lesen senjata api dan menggunakan senapang yang lazimnya digunakan untuk berburu.

“Kami menerima panggilan kecemasan mengenai tembakan di dewan perkahwinan di bandar Firuzabad dan pegawai perubatan dihantar ke lokasi,” kata jurucakap polis, Kolonel Mehdi Jokar.

Jokar menyifatkan kejadian berpunca daripada kesilapan ketika tembakan dilepaskan di khalayak selain kawalan senjata yang lemah.

Pengantin perempuan itu koma dan meninggal dunia akibat parah.

Dua lagi mangsa terselamat dan dilaporkan hanya cedera ringan.

Sebaik kejadian, penembak yang tidak didedahkan identiti itu melarikan diri.

Suspek adalah sepupu kepada pengantin lelaki melarikan diri dengan membawa senjata api berkenaan, tetapi berjaya ditahan polis tidak lama selepas itu.

“Kejadian ini berbahaya dan menyebabkan pelaku ditahan polis kerana tindakan sedemikian membahayakan masyarakat.

“Melepaskan tembakan dalam majlis perkahwinan juga dilarang.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa yang didapati melanggar peraturan ini,” kata Jokar.

Baca Juga: Nafsu syaitan! Pelajar maut dibelasah lepas rogol nenek usia 100 tahun

Baca Juga: Isu penceramah didakwa rogol remaja 14 tahun: Pendakwah ‘sekolahkan’ pengerusi kem tahfiz