Tunggu ambulan lama sangat, wanita beranak dalam kereta sorong

Tunggu ambulan lama sangat, wanita beranak dalam kereta sorong. Seorang wanita dari Uttar Pradesh, India terpaksa beranak di tepi jalan selepas ambulan gagal tiba di lokasi pada waktu yang sepatutnya.

Keluarga wanita itu dikatakan menghubungi ambulans ketika dia mahu bersalin, pada malam Selasa namun selepas menunggu selama sejam, ambulans masih tidak tiba di rumah kampung mereka di Ramwapur di daerah Basti.

Menurut ibu mentuanya, Sona Devi, keluarga itu menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan ambulans dari pusat kesihatan masyarakat, lapor Independent UK.

Memandangkan ambulans gagal melepasi perjalanan 15 kilometer (km) dalam masa satu jam, keluarga sekali lagi menghubungi penyedia perkhidmatan, lapor akhbar tempatan, Dainik Bhaskar.

Bawa keluar ke jalan utama guna kereta sorong sementara tunggu ambulan

Ketika keadaan wanita itu semakin teruk, keluarganya membawanya ke jalan utama untuk menunggu ambulans. Mereka terpaksa menggunakan kereta sorong dibawa dari kampung untuk membawanya ke hospital.

Sebuah video yang dikongsi di media sosial menunjukkan wanita itu duduk di dalam kereta sorong itu dan mengendong anak lelakinya yang baru dilahirkan.

Dia kemudian dimasukkan ke pusat kesihatan masyarakat di bandar Kaptanganj. Kedua-dua ibu dan anak dibenarkan pulang pada Rabu selepas rawatan, menurut seorang pegawai.

“Rawatan bermula sejurus selepas dimasukkan ke hospital. Ibu dan anak selamat,” katanya.

Baca Juga: Padah bedah hidung sendiri guna tutorial Youtube, lelaki dikejarkan ke hospital

Baca Juga: ‘Semoga anakanda diberi kekuatan’, orang ramai doakan kesihatan Ainul