Seorang remaja di Pekan, Pahang dilihat beruntung apabila dalam usia remajanya sudah berurus niaga jualan lembu mencecah harga sehingga puluhan ribu ringgit seekor.
Aiman Aizuddin Azhar, 19, dari Kampung Permatang Pauh kini menternak lebih 25 lembu sado baka Limousine, Charolais, Belgian Blue dan Brahman.
Beliau pernah menjual anak lembu sado berumur tujuh hingga 10 bulan dengan harga antara RM5,000 hingga RM8,000.
Anak muda ini juga pernah membeli lembu sado betina berharga RM30,000.
“Sebelum ini saya menyembelih 10 lembu sado pelbagai saiz untuk Aidilfitri, untung jual daging segar lebih lumayan berbanding lembu hidup.
“Setakat ini juga, saya jual lebih 40 lembu baka Kedah-Kelantan untuk korban,” katanya dipetik Berita Harian.
Sempena sambutan Aidiladha tahun ini, Aiman Aizuddin akan mengorbankan lembu sado seberat satu tan yang berusia empat tahun.
Daging lembu ‘Scoot’ bernilai RM25,000 yang dimilikinya itu akan diagihkan kepada kira-kira 400 penduduk setempat dengan setiap seorang akan menerima sekurang-kurangnya sekilogram daging.
Menurutnya, ibadat korban kali ini akan menjadi sejarah buatnya sekeluarga apabila menggunakan lembu sado berkenaan.
“Sebelum ini, kami korban hanya lembu baka Kedah-Kelantan. Saya gembira dapat korbankan lembu sado untuk ibadah korban tahun ini, berdebar menanti detik bersejarah kali pertama ini.
“Saya akan dapatkan bantuan beberapa penduduk untuk proses sembelih dan melapah, kerjasama semua pihak dapat melancarkan program ibadah korban kali ini,” katanya yang sedang melanjutkan pengajian peringkat diploma Agroindustri Ternakan Ruminan di Kolej Vokasional Pertanian Chenor, Maran.
Kata Aiman Aizuddin, Scoot adalah lembu sado terbesar lahir hasil permanian beradas, membesar di bawah pengawasannya dan beberapa pembantu terdiri sanak saudara sendiri.