Dua pemuda yang juga pelatih juruterbang itu buat keputusan untuk beli nasi kandar di Pulau Pinang sebagai hadiah tamat latihan di HM Aerospace, Langkawi Kedah.
Berkongsi cerita kepada mStar, Muhammad Faizal Ibrahim, 21, memperincikan kisah di sebalik perancangan yang dibuat bersama rakannya, Muhammas Muqhriz Nazri, 25, sebelum menamatkan latihan yang disertai sejak 5 Disember 2018.
“Sehari sebelum tu kami dah periksa jadual, kebetulan kami berdua dapat terbang bersama untuk penerbangan esoknya (24 Mac 2022). Penerbangan tersebut adalah perjalanan terakhir saya dan Muqhriz untuk menamatkan latihan kami selepas lima peperiksaan percubaan untuk latihan penerbangan sepanjang 18 bulan.
“Jadi untuk penerbangan terakhir ni, Muqhriz bagi idea supaya trip ni jadi memorable dan tersemat di hati sampai bila-bila.
“Jadi dia cakap dekat saya ‘Wey jom esok makan nasi kandar dekat Penang nak?‘. Kami pun bersepakat dan setuju dengan cadangan tu. Lepas call beritahu kapten, dia pun cakap okay saja sebab last flight.
“Kami isi borang flight plan dan buat kertas kerja hari tu, jadi petang hari sama terus hantar semua dokumen kepada air traffic controller (ATC) dekat Langkawi dan emel flight plan kami dekat ATC Penang. Jadi ATC bagi arahan untuk maklumkan dekat semua kapal terbang di lapangan terbang,” katanya.
Pergi Penang hanya sebab Nasi Kandar Beratur 786
Menurut Faizal yang merupakan anak bongsu daripada lima adik beradik, dia dan rakannya berlepas ke Pulau Pinang untuk membeli nasi kandar yang sememangnya terkenal iaitu Nasi Kandar Beratur 786.
Faizal yang belajar di HM Aerospace di Langkawi, berkata pada tarikh 24 April itu dia bertindak mengendalikan kapal terbang tersebut bersama Muqhriz serta diiringi ketua yang mengiringi perjalanan mereka.
Bagaimanapun, Muqhriz juga bimbang seandainya penerbangan terpaksa dibatalkan pagi itu disebabkan cuaca namun nasib menyebelahi mereka kerana cuaca kelihatan baik.
“Masa dalam perjalanan ke Penang, saya jadi pemandu dengan kapten tapi Muqhriz duduk belakang saja. Selama kami training kapten memang tegas kena ikut SOP tapi masa trip tu dia suruh relax.
“Jadi kami cuma rakam video sampailah kapten take-off kapal tu ke auto pilot sampai ke destinasi.”
Terbang ke Pulau Pinang diiringi Kapten naveed Abdullah
Dia juga berkongsi mengenai instructor yang selalu ber kejutan semasa tengah terbang. Instructor ada masanya tutup enjin untuk melihat tindak balas pelatih sama ada mereka boleh melakukan exercise emergency procedure.
Jadi disebabkan ini penerbangan terakhir sebagai pelatih, Muqhriz ‘membalas dendam’ dengan menutup enjin semasa instructor tengah fokus memandu dan bercakap dengan contorl tower.
“Kapten gelabah sampai dia teruskan buat prosedur.
“Bila kami sudah hampir sampai di Penang, saya tutup auto pilot dan kendali kapal terbang untuk mendarat secara manual. Landing tersebut merupakan pendaratan terakhir saya dekat landasan Pulau Pinang.
“Lepas mendarat tu kami terus jalan dalam kesesakan orang ramai dengan penuh confident sebab tengah pakai baju seragam padahal masih pangkat pelatih lagi,” ujarnya.
Beli untuk rakan-rakan juga
Setelah tiba di kedai nasi kandar menaiki kenderaan e-hailling, mereka membeli tujuh bungkus nasi kandar yang ditempah oleh rakan-rakan lain yang berada di Langkawi.
Tambah Faizal yang berasal dari Shah Alam, Selangor, mereka turut mengambil peluang untuk berjalan di beberapa kawasan menarik di Pulau Pinang yang merupakan lokasi tumpuan pelancong untuk bercuti.
Menurutnya lagi, setelah hajat terakhir ini ditunaikan, mereka pulang semula ke Langkawi dengan mengambil masa lebih kurang satu jam perjalanan yang dikendalikan oleh Muqhriz.
Tak terfikir dapat jadi juruterbang sebab rabun
Dalam pada itu, Faizal sempat mengimbas kembali bagaimana dia berjaya memasuki sekolah HMA yang terletak di Langkawi ini.
Selepas dapat keputusan Sijil Pelejaran Malaysia (SPM), Faizal mengaku tidak terfikir untuk menjadi juruterbang kerana dirinya rabun.
Pada awalnya membuat keputusan untk memasuk Universiti Malaya namun rezekinya dia Universiti Islam Antarabangsa.
Dia kemudiannya menyedari bahawa memakai cermin mata bukanlah penghalang untuk jadi juruterbang. Dia lantas mecari sekolah penerbangan dan melihat harga kos pengajian sampai luar negara.
“Sampai satu hari tu, dapat info yang Malaysia Airlines ada buka cadet programme jadi saya pun buat permohonan. Lepas berjaya dengan semua ujian saringan, saya berjaya masuk ke sekolah tu.
“Semua ujian tu makan masa lebih kurang dua hingga tiga bulan. Saya ulang alik dari UIA ke Subang beberapa minggu tu. Dalam 14,000 orang mohon, saya dan 14 orang pelajar lain saja terpilih.
“Saya sangat bersyukur berpeluang menyertai program ni,” katanya.
Berikutan perkongsian yang menjadi tular, rata-rata netizen menunjukkan rasa teruja mereka melihat video Faizal yang terbang ke Pulau Pinang semata-mata untuk membeli nasi kandar.
Dalam pada itu, Faizal turut menitipkan pesanan khusunya kepada anak muda yang mempunyai sebarang keraguan dalam mengejar impian mereka.
Ujarnya, dia percaya sesiapa sahaja mempunyai kebolehan untuk menggapai cita-cita dengan meneruskan perjuangan tanpa putus asa.
Baca Juga: Qatar larang seks tanpa ikatan sah kepada pemain dan penyokong Piala Dunia 2022
Baca Juga: Mati ditekup disyaki guna bantal, nyawa pelajar sekolah menengah melayang di tangan kekasih