Pastinya banyak pengalaman sebagai seorang pemandu ambulan. Namun buat lelaki ini, inilah antara pengalaman yang paling memakan jiwa apabila dia sendiri membawa jenazah anaknya yang terlibat dalam kemalangan untuk ke hospital.
Mohd Taqwa Ismail, 49, sebak melihat anaknya sendiri terbaring kaku di atas jalan selepas terbabit dalam kemalangan di simpang kilang sawit di Kilometer KM 38 Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu, petang Ahad lapor Harian Metro.
Dalam kejadian itu, Muhammad Aiman Mohd Taqwa, 21, kakitangan Unit Landskap Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu terbabit dalam kemalangan jalan raya selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah lori kira-kira jam 4.30 petang.
Taqwa berkata, dia mendapat panggilan meminta untuk mengambil mangsa kemalangan di lokasi kejadian dan kemudiannya dihantar ke Hospital Setiu namun ketika sampai, nombor plat motosikal anaknya pula kelihatan.
“Namun apabila sampai di situ, saya macam kenal motosikal itu dan apabila tengok nombor plat motosikal baru sedar rupanya anak sendiri menjadi mangsa kemalangan.
“Sejak saya bertugas menjadi pemandu ambulans kira-kira 21 tahun lalu, ini pengalaman pertama terpaksa berdepan situasi membabitkan ahli keluarga sendiri.
“Jujurnya hanya Allah sahaja yang tahu perasaan sedih saya ketika itu walaupun sebelum ini pernah mengambil mangsa kemalangan lagi serius tapi tidak terlalu beremosi seperti ini,” katanya.
Katanya, Aiman anak kedua daripada lima beradik hasil perkongsian hidup bersama isterinya, Zulnilawati Idris, 47, adalah anak yang pendiam tetapi sangat disenangi ramai kerana pandai menyesuaikan diri.
“Arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Belara kira-kira jam 11.30 pagi tadi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan muka.
Baca Juga: Obses dengan kebersihan, wanita ini bersihkan rumah orang tak dikenali secara percuma