Sebuah premis perniagaan di Jalan Mutiara, Skudai, Johor yang menjual alat teknologi penstriman (android box) diserbu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Sabtu lalu.
Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, pihaknya merampas 600 unit alat teknologi penstriman pelbagai jenama berserta dokumen berkaitan disyaki mengandungi karya hak cipta dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM404,500.
Menurut Azman, risikan awal telah dilakukan bahagian itu beberapa hari sebelum tindakan diambil.
“Serbuan yang bermula jam 1 tengah hari itu dengan kekuatan empat anggota penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya turut menahan seorang wanita warganegara tempatan berumur lingkungan 20-an yang mengaku sebagai pekerja di premis terbabit,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, siasatan dilakukan di bawah seksyen 43AA Akta Hak Cipta 1987 kerana disyaki melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya dengan menjual suatu teknologi penstriman.
“Kementerian ingin mengingatkan kepada semua peniaga agar tidak menjual alat teknologi penstriman seumpama ini yang mengandungi karya hak cipta yang dituntut haknya tanpa kebenaran,” katanya lagi.
Baca Juga: Kipas sekolah jatuh atas anak, bapa terkilan pihak sekolah tak bagi rawatan segera
Baca Juga: Bukan biasa-biasa, anak ini hantar ibunya sambung Master