Bayi perempuan ditemui ditinggalkan dalam beg

  • Post author:

Seorang bayi perempuan dianggar berusia dua bulan ditemui ditinggalkan dalam kawasan kedai makan kawasan Apartmen Sri Rakyat, Bandar Baru Bukit Jalil, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, berkata penemuan bayi itu dimaklumkan kepada Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras melalui panggilan MERS 999 oleh orang awam pada jam 10.49 pagi.

Menurut Zam, sepasukan anggota dari Balai Polis Bukit Jalil dihantar ke lokasi penemuan bayi berkenaan untuk siasatan.

“Siasatan awal mendapati bayi perempuan dianggar berusia dua bulan itu ditemui orang awam dalam sebuah beg dan diletakkan di kawasan kedai makan.

“Pihak Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) yang tiba di lokasi kejadian membuat pemeriksaan dan mengesahkan bayi berada dalam keadaan sihat,” katanya menerusi satu kenyataan, dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, bayi itu dibawa ke Balai Polis Bukit Jalil dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Baca Juga: Anak dikecam sebab tak tolong bapa jatuh, rupanya dua-dua lembam

Baca Juga: Air pasang besar: Paras air di Klang, Kuala Langat terkawal