Bermula dari hanya membaiki dan menjual kipas terpakai, Nur Asyifa Ajis, 31, kini sudah ada cawangan kedai kedua perniagaan Doktor Kipas miliknya di Tasek Gelugor di Pulau Pinang.
Cawangan pertama di Pokok Sena, Kepala Batas mendapat sambutan menggalakkan, dipetik Mingguan Malaysia hari ini.
Beliau yang sudah biasa bergelumang dengan minyak pelincir, pemutar skru dan habuk di bilah kipas yang dibaiki sebenarnya pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Menurutnya, lantaran tiada tawaran kerja yang diterima setelah tamat pengajian pada awal 2016, dia mula berniaga kipas angin terpakai di pasar malam.
Nur Asyifa yang kini sedang berbadan dua memberitahu beliau mengambil keputusan untuk bekerja dengan ayah yang ketika itu menjual kipas angin terpakai di pasar malam sekitar Kota Kuala Muda, Kedah, pekan Penaga, Kepala Batas serta Taman Desa Murni dekat Sungai Dua setelah permohonan kerja di syarikat kejuruteraan tidak disambut.
“Khusus buat yang sedang mencari kerja terutamanya graduan muda, ambil peluang di depan mata dahulu. Bukan lihat peluang yang ke depan di mana belum pasti kita akan dapat.
“Cuba dan rasa kena dengan jiwa atau tidak. Ingat, tiada usaha yang sia-sia. Hanya kejayaan datang lambat. Terus gapai impian!” katanya di Facebook beliau.
Baca juga Lelaki Jepun dibayar RM319 untuk tidak melakukan apa-apa, inilah impian semua manusia
Baca juga Sudah ada 4 laporan polis – Remaja kenal selebriti lelaki dalam program motivasi