Seorang wanita Orang Asli maut akibat dipijak gajah liar di Kampung Simoi Baru, Pos Betau, Kuala Lipis awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa, Wak Angkat Yok Tong, 39, mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Azli Mohd Noor, pihaknya menerima maklumat pada jam 4.40 pagi berhubung kematian seorang wanita di kampung tersebut dipercayai diserang sekumpulan gajah.
Menurutnya, mangsa tidak sempat melarikan diri lalu dipijak haiwan liar berkenaan.
Jelasnya, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa bersama lapan ahli keluarga lain sedang tidur di dalam rumah kayu berdindingkan buluh kelilingi pokok pisang berhampiran kebun getah.
“Akibatnya, sekumpulan gajah menarik dinding dan menyebabkan rumah bergoyang.
“Kesemua sembilan ahli keluarga tersebut tersedar dan masing-masing melarikan diri dalam keadaan gelap.
“Selepas berkumpul semula ahli keluarga baru sedari mangsa tiada. Mereka kemudiannya bertindak mencari dan menjumpai mayat mangsa di dalam kawasan pokok pisang berhampiran rumah mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Polis Sungai Koyan bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mangsa telah meninggal dunia akibat dipijak oleh gajah.
Menurutnya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Lipis untuk bedah siasat.
Baca Juga: [VIDEO] Pak Nil luah rasa sebak lihat persembahan pertama Zamani selepas pembedahan tulang belakang
Baca Juga: [VIDEO] Steady abang ni, tak takut mandikan ular tedung