Seorang lelaki Indonesia dipercayai maut disambar buaya ketika sedang memancing di Sungai Semba di kawasan Taman Perindustrian Samalaju di Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Miri, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju Hashim Norshidi berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung insiden itu pada 10.20 malam.
Katanya, maklumat awal yang diterima dari pengadu mengatakan mangsa dikenali sebagai Hermanto, 40.
Ketika berlaku kejadian, rakan mangsa yang juga pengadu berusia 27 tahun, turut berada di lokasi sama dan ternampak mangsa disambar buaya dan diseret ke dalam air.
“Sejurus sampai di lokasi, pasukan bomba bertindak menjalankan pemantauan serta pencarian awal secara permukaan di lokasi terakhir mangsa dilihat selama satu jam, namun gagal menemui mangsa,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurut Samalaju, operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan berikutan sudah lewat malam dan disambung pagi ini.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa memakai baju lengan panjang berwarna kelabu dan seluar jeans.
Baca Juga: Gempa bumi landa tenggara Taiwan
Baca Juga: Pendaki ditemukan selamat, keluar sendiri daripada hutan