Hospital Tanjong Karang dibuka sepenuhnya 10 Oktober depan

  • Post author:

Hospital Tanjong Karang yang baru siap dibina akan mula beroperasi sepenuhnya kepada orang ramai pada 10 Oktober depan.

Hospital itu yang juga hospital pakar minor mula dibina pada 2018, akan menggantikan bangunan lama hospital berkenaan yang berusia lebih 56 tahun.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 10 bidang kepakaran diperkenalkan di hospital itu secara berfasa antaranya pembedahan, kecemasan, ginekologi, pediatrik, ortopedik, radiologi dan patologi.

“Hospital Tanjong Karang baharu turut menawarkan khidmat pakar secara lawatan bagi otorinolaringologi, oftalmologi, psikiatrik dan forensik.

“Menerusi kepakaran hospital ini, sebanyak 3,000 kes rujukan melibatkan kos penghantaran pesakit dari Hospital Tanjong Karang ke hospital pakar lain dapat dijimatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyaksikan penyerahan projek hospital itu, hari ini.

Menurut Khairy lagi, hospital pakar minor kedua di Selangor itu bakal memberi manfaat kepada lebih 300,000 penduduk di sekitar daerah ini.

Majlis penyerahan disempurnakan antara Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Seri Mohamad Zulkefly Sulaiman dan Ketua Setiausaha KKM, Datuk Harjeet Singh Hardev Singh.

Majlis itu turut dihadiri, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar.

Baca Juga: ‘Kunci kuning’ disangka pisang

Baca Juga: Dua remaja lari dalam keadaan telanjang bulat, selamatkan diri selepas tempat maksiat diserbu