Kasih seorang adik, sanggup kumpul duit 12 tahun untuk lihat abangnya kahwin

  • Post author:

Pengorbanan dalam kehidupan terutamanya melibatkan hubungan adik beradik adalah sesuatu yang tidak ternilai.

Kadangkala pengorbanan yang dilakukan itu bukanlah sesuatu yang senang dihadapi, perit untuk berkorban, tetapi demi adik beradik tercinta apa sahaja rela dilakukan.

Begitu juga dengan seorang wanita di China yang sanggup berkorban mengumpul wang selama 12 tahun demi melihat abangnya mendirikan rumah tangga.

Wanita berusia 33 tahun dari wilayah Anhui, timur China itu berkata, dia mengusahakan sebuah restoran kecil khusus dalam pembuatan lempeng tempatan dengan pendapatan bulanan kira-kira 100,000 yuan (kira-kira RM62,323.25).

Katanya, dia menggunakan sebahagian besar pendapatannya itu dengan membeli rumah serta sebuah kereta baharu buat abangnya selain turut menghadiahkan restorannya kepada lelaki itu, namun bukan untuk kepentingan dirinya.

“Sejak empat tahun lalu, saya sangat kedekut, walaupun untuk membeli pakaian baharu untuk diri saya sendiri, malah saya juga belum ada rumah sendiri kerana keutamaan saya adalah abang.

“Saya hanya akan fikirkan diri saya selepas abang saya berkahwin, untuk perkahwinan saya, boleh tunggu dulu,” katanya kepada Miaowen Video.

Bagaimanapun, pengakuan wanita itu menjadi perhatian dan perdebatan hangat di China dengan sebahagian besar orang simpati dengan nasibnya.

Tidak kurang juga ada yang mengecam tindakan wanita itu yang seolah-olah menunjukkan contoh yang tidak baik kepada orang lain.

Sebagai tindak balas kepada semua kritikan terbabit, wanita itu hanya berkata, orang ramai tidak tahu apa yang dilalui keluarganya selama bertahun-tahun sehingga mereka tidak dapat memahami niatnya membantu abang.

“Kehidupan setiap orang berbeza. Mereka mungkin tidak pernah mengalami kesusahan seperti yang kami pernah alami semasa zaman kanak-kanak.

“Jadi, memang lumrah apabila ia sukar difahami,” katanya.

Baca Juga: Tunggang e-skuter hampir 100 kilometer sejam, lesen lelaki ini digantung

Baca Juga: Palsu sijil kelayakan perubatan, wanita sempat jadi doktor selama setahun