Kebakaran melibatkan Klinik Kesihatan Parit Baru di Jalan Masjid Kampung Parit Baru, Sabak Bernam, menyebabkan kemusnahan bangunan setingkat awal pagi ini namun kerugian dan punca masih belum dikenalpasti.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada 3.49 pagi lapor Harian Metro.
Katanya, sepasukan 29 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam, Sungai Besar, Sekinchan dan Hutan Melintang dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Berdasarkan laporan awal, kebakaran membabitkan sebuah klinik desa jenis bangunan setingkat.
“Kerja-kerja pemadaman kemudian dijalankan dan api berjaya dikawal jam 4.23 pagi,” katanya.
Norazam berkata, kebakaran itu tidak membabitkan mangsa dengan anggaran kemusnahan kira-kira 70 peratus.
“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Baca Juga: Kes helikopter terhempas, siasatan akan dijalankan
Baca Juga: Salah guna kuasa, guru besar wanita ditahan beli barangan sekolah guna syarikat sendiri