Seorang lelaki warganegara Singapura, Jason Ren Jie dilaporkan hilang selepas dipercayai tersesat ketika mendaki Hutan Simpan Panti Timur, Kota Tinggi, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut daripada seorang lelaki warga tempatan pada jam 3.26 petang.
Katanya, lelaki warga tempatan yang juga merupakan rakan mangsa, memberitahu dia terputus hubungan dengan lelaki berusia 30-an itu, ketika mendaki bersamanya di hutan tersebut.
“Pengadu berjalan dahulu, manakala mangsa menunggu di belakang. Tetapi, selepas 30 minit menanti, mangsa tidak muncul-muncul. Pengadu cuba mencari semula mangsa tetapi tidak jumpa,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Susulan itu, katanya, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Balai Polis Batu Ampat telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian mangsa yang dilaporkan sesat.
Hussin berkata, operasi mencari dan menyelamat itu turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Balai Bomba Kota Tinggi serta Jabatan Perhutanan Wilayah Johor Selatan (Kota Tinggi).
“Setakat jam 11:30 malam tadi, mangsa masih belum dijumpai dan operasi mencari dan menyelamat dihentikan seketika.
Ia kerana keadaan persekitaran terlalu gelap dan menyukarkan pencarian. Operasi akan disambung semula hari ini,” katanya.
Hussin turut menasihatkan orang ramai yang berhasrat untuk melakukan aktiviti pendakian terutama di kawasan Hutan Simpan agar mendapatkan permit terlebih dahulu daripada Pejabat Perhutanan Daerah Kota Tinggi dan memaklumkan kepada balai polis yang terdekat bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Baca Juga: Pemandu trak tak sedar masuk kawasan kubur lepas tumpangkan dua wanita cantik
Baca Juga: Derita seorang remaja 12 tahun, disahkan hidap HIV selepas bertahun-tahun dirogol keluarga sendiri