Nelayan jatuh sampan ditemui meninggal dunia

  • Post author:

Seorang nelayan yang dikatakan terjatuh dari sampan ketika menangkap ikan di perairan Jelutong petang Sabtu lalu, ditemui maut.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, mayat Mohd Shahrul Mansor berusia 37 tahun itu ditemui terdampar di pantai Pulau Jerejak, Bayan Lepas.

“Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Malaysia Pulau Pinang telah menerima panggilan daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi melalui MERS 999 mengenai penemuan satu mayat lelaki pada tengah hari semalam (Ahad).

“Selepas menerima maklumat tersebut, bot ronda KILAT 26 telah diatur gerak ke lokasi dan menemukan satu mayat lengkap berpakaian terdampar di pantai Pulau Jerejak,” katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Menurut Abd Razak, mayat mangsa dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada Balai Polis Sungai Nibong untuk tindakan selanjutnya.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk bedah siasat serta siasatan lanjut,” katanya.

Abd Razak berkata, mangsa yang beralamat di Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan dipercayai terjatuh dari sampan di perairan Jelutong ketika keluar menangkap ikan.

“Berdasarkan laporan polis yang diterima Balai Polis Jelutong, dipercayai cuaca buruk ketika kejadian, namun kita tidak mendapat sebarang maklumat awal berhubung kejadian ini,” ujar beliau lagi.

Baca Juga: Visa umrah dilanjut sehingga 3 bulan

Baca Juga: Lelaki lepaskan tembakan pada kereta, wanita ingat hanya letupan biasa