Sebuah kapal kargo yang berlabuh tanpa kebenaran, ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Negeri Selangor malam tadi.
Kapal itu ditahan di kedudukan kira-kira 14.5 batu nautika barat daya Sekinchan.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, kapal kargo berdaftar di Panama yang dikendalikan 19 kru lelaki warga China termasuk nakhoda berusia antara 26 hingga 52 tahun ditahan pada jam 12.35 tengah malam.
Beliau berkata, kehadiran kapal itu dikesan melalui radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia di Area Command Centre (ACC) Klang, sejurus mendapat maklumat daripada Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor dan Jabatan Laut Wilayah Tengah.
“Bot ronda Maritim diatur gerak ke perairan Sekinchan untuk pemeriksaan dan sejurus tiba mendapati semua kru kapal memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, namun nakhodanya gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran berlabuh daripada Jabatan Laut,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Menurut Siva Kumar lagi, dua kru kapal kargo tersebut kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.
Siva Kumar berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 491 B (1) (l) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran dari Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Baca Juga: Hebatnya kasih seorang ayah demi lihat anak bahagia
Baca Juga: Isu logistik antara sebab bekalan telur ayam kurang