Pakatan Harapan sudah bersedia, mahu kembalikan keyakinan rakyat dalam PRU 15

  • Post author:

Susulan pembubaran kabinet, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim luah rasa kesal terhadap tindakan kerajaan yang tetap dengan keputusan untuk melakukan Pilihan Raya Umum walaupun menerima tentangan ramai pihak terutama rakyat yang risau akan risiko banjir di kawasan mereka.

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, beliau menerima keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memberi perkenan terhadap langkah pembubaran Dewan Rakyat yang dilihat selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Pakatan Harapan bersedia untuk menghadapi Pilihanraya Umum Ke-15. Kami telah bersedia untuk berhadapan dengan gerombolan yang telah mencurangi mandat pilihanraya umum yang lalu.

“Kami juga bersedia untuk memungkinkan sebuah masa depan yang mampan, makmur serta sebuah pemerintah yang benar-benar prihatin dan punyai sikap belas kepada nasib dan kebajikan rakyat.

“Malaysia yang baru di bawah Pakatan Harapan pastinya akan memberi lebih penekanan yang mendalam kepada aspek-aspek ini dan akan berusaha sebaik mungkin bagi mengembalikan keyakinan rakyat.”

Walaupun menerima keputusan Agong namun Anwar masih mempersoal niat pihak lain yang dilihat begitu gelojoh mahukan pilihanraya diadakan dalam waktu terdekat dan menyatakan bahawa kabinet kali ini adalah yang paling besar dalam sejarah negara apabila tewas dan tunduk kepada tekanan dan kedurjanaan politik yang berkiblatkan kuasa dan wang ringgit.

“Langkah ini ternyata suatu penghinaan kepada rakyat Malaysia yang di bawah yang kini terbeban dengan kenaikan harga barang yang tinggi, gaji yang rendah, peluang pekerjaan yang tidak cukup untuk para siswazah, kualiti pendidikan, akses yang sangat rendah kepada kesihatan, simpanan yang tidak munasabah untuk usia persaraan, serta yang paling utama ancaman musibah banjir dan dampak buruk dari kemelut alam dan iklim,” jelas Anwar dalam kenyataan media yang disiar di Facebook rasmi miliknya.

Anwar memaklumkan setelah menjelajah ke seluruh negara, ramai yang menyuarkan kesungguhan mereka bagi menghukum para konspirator dan dalang Langkah Sheraton dan mengakui beliau teruja dengan semangat yang dipaculkan.

“Walaubagaimanapun, saya mengakui terdapat sebahagian kita yang kecewa dengan sistem politik dan sikap angkuh watak-watak ini menyumbang kepada gejala itu, terutamanya yang merencana dan melakukan pengkhianatan.

“Apakah kalian bimbang melibatkan harga barang? Soal pekerjaan? Musim tengkujuh dan banjir? Apakah kalian mahu pendidikan yang berkualiti? Kalian mahu sistem dan akses yang munasabah kepada kesihatan? Justeru itu kita mesti turun mengundi!

“Dalam minggu-minggu yang mendatang, mari bersama kita membangkitkan semula semangat untuk menggapai sebuah Malaysia yang lebih baik dan merangkul segala kekuatan yang ada, tidak kira saat kita mahu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, penubuhan Malaysia 1963, atau peristiwa Reformasi 1998 dan juga kemenangan rakyat pada tahun 2018.”

Buat langkah yang bijak, jangan biar peristiwa lama berulang. Rakyat mempunyai kuasa untuk menentukan siapa yang layak menjadi pemimpin dan siapa yang tidak.

Baca Juga: Titah Agong susulan pembubaran Parlimen oleh PM ‘sangat makan dalam senak rusuk kena tumbuk’

Baca Juga: Selepas PM bubar Parlimen, ini reaksi dari Istana Negara yang mengejutkan