Pemandu lori maut, cedera parah di kepala selepas terbabas

  • Post author:

Seorang warga emas maut selepas lori yang dipandunya, dipercayai hilang kawalan di Kilometer (KM) 15 Jalan Kampung Budu-Kampung Tualang Padang dekat Benta, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, mangsa, Johari Md Jali, 70, cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Azli berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan jenis lori jenis Rigid Dumper dipandu sendirian oleh mangsa dalam perjalanan dari Lanchang membawa muatan tar untuk dihantar ke Kampung Kemahang, Benta.

“Sampai di tempat kejadian, lori itu dipercayai telah hilang kawalan semasa melalui jalan yang berselekoh serta menuruni bukit.

“Akibat kejadian tersebut, lori terbabas ke sebelah kanan jalan dan terbalik menyebabkan pemandunya tersepit dan terperangkap di dalam bahagian kepala kenderaan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Menurut Azli lagi, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

“Siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” tambah Azli.

Baca Juga: [VIDEO] Buat aksi ‘superman’ atas motor, makcik ini bukan biasa-biasa

Baca Juga: Warga emas maut ditikam akibat disyaki ada hubungan sulit dengan isteri orang