Penah disebat kerana penyalahgunaan dadah, Fuad Rahman teringat sakit kulit tersiat

Peserta Gegar Vaganza dari Singapura ini berkongsi pengalaman disebat sebanyak enam kali di penjara kerana penyalahgunaan dadah yang  mampu menginsafkan dirinya daripada terus terjebak dengan perkara itu.

Kesakitan yang dialami akibat enam sebatan di penjara di Singapura masih kuat dalam ingatannya sehingga hari ini, rakan-rakan dalam penjara juga yang membantunya merawat kesan luka tersebut.

“Untuk hukuman penjara kali ketiga, saya dikenakan hukuman sebatan sebanyak enam kali pada bahagian punggung. Sakit dan peritnya memang tak tergambar.

“Kulit pada bahagian disebat itu tersiat dan luka. Hampir seminggu juga luka tersebut untuk sembuh, kawan-kawan dalam penjara membantu merawat kesan luka itu,” katanya kepada Kosmo! Online.

Walaupun pergerakan terbatas sehingga memaksanya tidur dalam keadaan meniarap, dia tidak jadikan itu halangan untuk tetap bersolat seperti biasa.

“Meskipun ada bahagian badan yang luka, saya tetap menunaikan solat seperti biasa. Cuma bahagian belakang sahaja cedera, kaki masih okey.

“Apabila diingat semula kesakitan dan keperitan hukuman tersebut, rasa insaf memang tak pernah hilang daripada jiwa. Tak akan sesekali saya ulang kesilapan lalu,” ujarnya.

Baca Juga: Pesawat tentera Rusia terhempas di bangunan kediaman

Baca Juga: Pemuda ini tak menyesal berhenti kerja dari Singapura, dakwa kerja di Malaysia lagi seronok, kurang tekanan