Pengurus lepaskan tembakan rawak sebelum bunuh diri, pekerja Walmart trauma

Pastinya mengejutkan apabila terdengar bunyi tembakan dilepaskan dan melihat rakan sekerja sudah terbaring kaku dengan berlumuran darah. Tindakan gila pengurus Walmart yang menembak mati 6 pekerja sebelum mengambil nyawa sendiri.

Kejadian dikatakan berlaku di sebuah cawangan pasar raya berkenaan di Chesapeake, Virginia yang dipenuhi pelanggan. Suspek, Andre Bing, 31 bersenjatakan hanya sepucuk pistol.

Walmart mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa Bing adalah ketua pasukan kakitangan syif malam yang bekerja dengan syarikat itu sejak tahun 2010.

Tembak secara rambang

Salah seorang mangsa yang terselamat, Briana Tyler memaklumkan pengurus kedai tersebut secara tiba-tiba memasuki bilik rehat kakitangan dan melepaskan tembakan.

“Dia tidak menyasarkan sesiapa secara khusus dan mula melepaskan tembakan secara rambang di seluruh bilik rehat dan saya melihat ramai orang jatuh ke lantai, sama ada mereka cuba bersembunyi untuk perlindungan atau mereka ditembak.

“Lelaki bersenjata itu memandang tepat ke arah saya dan terus melepaskan tembakan tetapi saya terselamat kerana tembakannya tersasar hanya beberapa inci sahaja. Dia tidak berkata apa-apa,” kata Tyler memberitahu program Good Morning America ​​di saluran ABC.

Mayat suspek dan dua mangsa ditemui di bilik rehat kakitangan, manakala mayat seorang lagi mangsa ditemui di bahagian hadapan kedai.

Tiga lagi mangsa yang mengalami kecederaan parah akibat luka tembakan meninggal dunia di hospital dengan mangsa termuda dilaporkan berusia 16 tahun.

Ketua polis Chesapeake, Mark Solesky berkata, empat lagi mangsa masih dirawat di hospital dan mengesahkan hanya enam mangsa yang meninggal dunia walaupun menyatakan kemungkinan 10 yang maut dalam kenyataan sebelum ini.-AFP

Baca Juga: Mengerikan! muka tertusuk bar keluli, pemuda ini dilaporkan selamat

Baca Juga: 8 intipati ditekankan Anwar selepas dilantik Perdana Menteri Malaysia ke-10