Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor mengesahkan akan bertanding di enam kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan memaklumkan, antara tiga kerusi yang sudah pasti adalah Sri Gading, Pengerang dan Pulai.
Beliau berkata, baki lagi tiga kerusi akan diumumkan hari ini di Wisma AMANAH, Kuala Lumpur, selepas pertemuan semua calon daripada AMANAH.
“Esok (hari ini) akan ada berkumpul semua calon di Wisma AMANAH di Kuala Lumpur, selepas itu kita akan umumkan.
“Sebab pertamanya kita masih ada perbincangan mengenai calon dan ada perbincangan peringkat majlis presiden rakan kongsi lain, tetapi InsyaAllah, enam kerusi itu kekal untuk AMANAH Johor.
“Parlimen Pengerang akan ditandingi bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh.
“Pulai akan mengekalkan penyandangnya, manakala Sri Gading dan selebihnya akan diumum esok (hari ini),” katanya pada sidang media selepas Fundraising Dinner AMANAH Johor, malam tadi.
Turut hadir dalam majlis itu adalah Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Dalam perkembangan sama, Aminolhuda ketika ditanya sama ada akan turut bertanding, beliau tidak menolak kemungkinan akan menjadi calon.
Baca Juga: Kahwinkan dua patung ‘dewasa’ siap dengan pakaian tradisional di tapak suci, lelaki ditahan polis