PRU-15: Pengundi positif Covid-19 wajib pakai pelitup muka

  • Post author:

Individu positif Covid-19 yang akan mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) wajib memakai pelitup muka, manakala pemakaian pelitup muka bagi pengundi lain adalah amat digalakkan.

Perkara tersebut diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, pengundi positif Covid-19 juga tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam termasuk e-hailing.

“(Pengundi positif Covid-19 tidak dibenarkan) singgah di mana-mana sebelum dan selepas mengundi, dan perlu pulang segera selepas selesai mengundi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Untuk memastikan proses pengundian berjalan lancar dan selamat terutamanya bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan, Dr Noor Hisham berkata pengundi positif Covid-19 perlu mematuhi penjarakan fizikal yang selamat, manakala penjarakan fizikal bagi pengundi lain amat digalakkan.

Beliau menambah, pengundi juga perlu menggunakan pensanitasi tangan yang disediakan di tempat mengundi, selain disyorkan membawa pensanitasi tangan sendiri.

Dr Noor Hisham berkata individu yang belum menerima dos penggalak vaksin Covid-19 dinasihatkan supaya segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan orang sekeliling.

“Marilah kita bersama-sama mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 kepada pengundi dan petugas di pusat mengundi sepanjang PRU-15,” katanya.

Baca Juga: Puting beliung kecil di Yan, lelaki terkejut tapi sempat rakam

Baca Juga: Ada apa dengan angka ’11’ kepada kanak-kanak ini?