PRU-15: PH yakin kadar keluar mengundi lebih 80%

  • Post author:

Tempoh kempen berbaki dua hari sahaja lagi dan Sabtu ini merupakan hari penentu hasil kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selama dua minggu seperti diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Semalam, Pakatan Harapan (PH) menyuarakan keyakinan peratusan keluar mengundi pada PRU-15 tinggi seperti PRU-14 meskipun ketika rakyat sedang berdepan dengan kebimbangan bencana banjir.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, berdasarkan tinjauan mereka, pengundi yang keluar akan mencapai setinggi lebih 80 peratus seperti yang dicatatkan pada PRU-14 yang lepas.

“Berdasarkan tinjauan kami, ramai pengundi mahu keluar mengundi kerana mereka mahu melakukan perubahan. Kami yakin pengundi keluar pada PRU-15 ini agak tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ceramah Mega Harapan Jerai di Yan Kecil, malam tadi seperti dilaporkan Utusan.

Menurut Loke lagi, pihaknya berharap banjir monsun tidak menghalang majoriti pengundi untuk melaksanakan hak demokrasi mereka. 

“Kalau kawasan banjir memang akan membawa kesusahan kepada rakyat. Sebab itu kita sudah cakap banyak kali kenapa kita nak elak buat PRU pada ketika ini, jadi sekarang ini terbukti benar.

“Dari situ rakyat boleh menilai, dan rakyat akan lebih menolak Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) kerana mereka sama-sama buat keputusan untuk bubarkan Parlimen di tengah-tengah musim tengkujuh ini.

“Terutama pemimpin-pemimpin BN akan menerima padahnya kerana umum mengetahui pemimpin BN yang menekan untuk mengadakan PRU ketika ini,” ujarnya.

Baca Juga: PRU-15: Fahmi Fadzil tekad tidak ambil gaji jika dilantik dalam Kabinet

Baca Juga: Wah! Volkswagen cipta kerusi pejabat, siap boleh dipandu lagi!