Sebagai anggota polis, mereka seharusnya menjadi tauladan yang baik buat rakyat namun lima anggota polis ini sedikit sebanyak mencalarkan nama polis. Mereka telah ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Puchong Sabtu lepas.
Turut ditemui adalah pelbagai dadah seberat 13.9 gram yang dirampas dalam serbuan Ops Noda. Ops tersebut dijalankan oleh sepasukan polis daripada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, ketika serbuan seorang lelaki tempatan yang mengaku penjaga premis ditahan lapor Harian Metro.
“Polis turut menahan tiga lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Vietnam yang disyaki pelayan pelanggan.
“Semasa pemeriksaan di sebuah bilik, terdapat lima pengunjung yang juga penjawat awam. Hasil pemeriksaan dijalankan menemui dadah jenis methamphetamine anggaran berat 0.87 gram, pil eramin 5 (7.38 gram) dan ganja (5.65 gram),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujian saringan air kencing untuk lima suspek dikatakan positif dadah. Jumlah dadah juga dianggarkan untuk lima hingga 10 pengguna dadah.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas pula dianggarkan boleh dibekalkan kepada lima sehingga 10 pengguna dadah.
“Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti sumber bekalan dadah yang diperoleh,” katanya.
Katanya, kelima-lima suspek ditahan reman selama tiga hari bermula semalam sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Katanya, kes juga akan disiasat dari segi kesalahan tatatertib.
Baca Juga: Lepas pecah pejabat larikan RM40,000, bermalam di hotel dengan penuntut kolej swasta