Sebagai persediaan untuk operasi penuh Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya, sesi ujian migrasi akan dijalankan bermula esok hingga Disember ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Amir Hamdan memaklumkan, pihaknya akan memantau rapi sesi ujian yang dijalankan kontraktor pembinaan projek MRT itu bagi memastikan semua langkah dan prosedur dipatuhi.
“Sesi ujian ini akan melibatkan operasi tren ujian dari Stesen MRT Putrajaya Sentral sehingga Stesen MRT Kwasa Damansara. Tren-tren ujian ini akan berhenti di semua stesen MRT Laluan Putrajaya Fasa 1 dan tidak akan mengambil penumpang.
“Kekerapan tren pada waktu puncak pagi dan petang kekal seperti sedia ada ketika ujian dijalankan.” katanya.
Bagi memastikan penumpang tidak keliru, Amir berkata, notis akan dipasang pada pintu tren yang terlibat bagi melarang pengguna daripada memasukinya dan pihak operasi juga telah menampal notis dan pengumuman di stesen turut dijalankan bagi makluman penumpang.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Operasi MRT Laluan Fasa Satu membabitkan perjalanan dari Kwasa Damansara hingga Kampung Batu bermula pada 16 Jun lalu, manakala operasi Laluan Fasa Dua dijangka bermula Januari tahun depan sekali gus akan membolehkan tren melalui keseluruhan laluan dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral.
Menurut Amir lagi, sesi ujian itu adalah antara prasyarat yang ditetapkan pihak berkuasa, selain bertujuan mengukur dan menguji keberkesanan sistem menjelang operasi penuh MRT Laluan Putrajaya.
“Pihak Rapid Rail akan memaklumkan kepada pengguna sekiranya ujian ini dapat diselesaikan lebih awal daripada jadual,” katanya.
Baca Juga: 4 buah negeri diramalkan hadap air pasang besar hingga 13 Oktober
Baca Juga: Kereta terbabas sendiri, dua kanak-kanak jadi anak yatim