Adalah salah untuk menggunakan wang dicuri apatah lagi untuk membeli makanan yang bakal menjadi darah daging. Namun dia atas kecuaian sendiri, lelaki tersebut sanggup memaafkan wanita yang menggunakan kad debit miliknya yang tertinggal di restoran.
Pemilik kad tersebut Arzaim Barimin memuat naik hantaran di laman JDTFC dan memaklumkan telah berjumpa dengan wanita yang menggunakan kad miliknya itu.
“Saya pemilik kad debit tersebut. Kes dah selesai ya. Saya akui silap saya cuai selepas selesai bayar ambil gambar menu dan cadang nak beli untuk sarapan dengan isteri esoknya.
“Boleh pula kad tu sama warna dengan menu. Saya terima masej dari Bank Islam untuk kesemua transaksi. Hanya transaksi ketiga saya tidak lepaskan kerana jumlahnya besar,” tulisnya.
Hanya hubungi selepas kantoi
Wanita tersebut dikatakan menghubunginya selepas melihat video tersebut tersebar dan akhirnya membuat keputusan untuk berjumpa di Puteri Harbour pada pukul 9 malam.
“Dia mengaku salah ada “terguna” kad saya empat kali. Dua kali beli burger, dua kali di KK Mart Gelang Patah.
“Katanya, duit yang digunakan adalah untuk beli barang kegunaan harian keluarga. Selepas dengar penjelasan dia, jadi saya halalkanlah semua yang dibelanjakan,” katanya.
Tambahnya , pihak restoran Woodfire juga telah membayar kembali jumlah pembelian wanita yang menggunakan kad debit itu kepadanya dan menganggap kes tersebut sudah selesai dan memberi pengajaran untuk semua agar lebih berhati-hati.
Warganet mula memberikan komen di atas kebaikan tuan punya kad yang sanggup memaafkan wanita yang menggunakan kad serta menghalalkan duit yang dihabiskan.
“Owner kad jiwa besar sebab memaafkan. Pengajaran buat semua, kalau bukan hak kita jangan ambil, itu namanya AMANAH. Terjumpa kad debit orang lain di restoran pulangkan pada juruwang supaya tuan punya boleh tuntut dengan cashier. Mudahkan urusan orang,” komen Jauhari Zazul
“Bagus viralkan begini. Kalau tak viral, rasanya wanita tersebut tak pulangkan kad debit lelaki ni. Viral begini biar jadi pengajaran kepada semua orang. Jangan sesekali ambil hak orang lain. Tanpa rasa malu pula tu, wanita tersebut gunakan berkali-kali dengan alasan beli barang keluarga. Sungguh tak patut,” komen Sofia.
“Yang menyalahkan kecuaian sendiri ni tak faham betullah. Memang betul tuan punya kad cuai, tapi apa hak orang tu guna bukan hak sendiri. Dah jumpa tu bagi la pada yang berkenaan. Viralkan muka orang tu memang patut, sebagai pengajaran untuk orang lain,” komen Fiey
“Bagusnya abang ni, siap halalkan lagi. Semoga Allah permudahkan segala urusan dan limpah ruahkan rezeki seperti air yang mengalir buat abang,” komen Nazurah.
Baca Juga: Wanita habiskan 10 juta yen untuk pembedahan plastik, mula sejak sekolah rendah lagi
Baca Juga: Air mineral lagi mahal daripada susu – Mengapa di Malaysia segalanya mahal?